BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, 20 Ogos 2009

APA ITU ORANG UTAN?????





ORANG UTAN


Orang utan berasal daripada istilah orang hutan yang membayangkan rupa bentuk haiwan yang menyerupai manusia, tetapi hidup di dalam hutan dan juga merupakan haiwan mamalia. Mengikut kajian, orang utan sangat pintar kerana mempunyai 97% DNA manusia. Ini terbukti apabila orang utan telah dijumpai mendayung sampan dan ianya bukan di zoo. Selain itu, mereka juga boleh membuat buaian di udara serta pandai menggunakan peralatan untuk membuat sesuatu seperti sudu dan garpu.

Di Malaysia, orang utan boleh dijumpai di bahagian timur dan tengah Sabah. Ini kerana, pada zaman dahulu, taburan orang utan lebih merata kerana terdapat kawasan hutan yang lebih meluas. Sebagai contoh, di Sarawak terdapat fosil orang utan di Gua Niah, tetapi kini orang utan tidak boleh di temui di kawasan itu lagi kerana kawasan hutan sangat berkurangan.

Pada asalnya, orang utan di beri nama Simia Satyrus. Selepas itu, ianya di tukar kepada Pongo pygmaeus. Orang utan biasanya tinggal di hutan bakau. Boleh dikatakan orang utan tidak akan dijumpai di dalam hutan berhampiran pergunungan yang melebihi 1400 m di atas aras laut.


PERSAMAAN ANTARA ORANG UTAN DAN MANUSIA

Bagi orang utan dewasa, ketinggiannya boleh mencapai sehingga 1.5 m. Apabila orang utan berdiri, ketinggiannya hampir sama dengan ketinggian orang dewasa. Tambahan pula, Orang utan juga mempunyai persamaan dengan manusia dari segi fizikalnya iaitu kedudukan matanya yang menghala ke hadapan dan tergolong dalam haiwan yang beranak dan menyusukan anak. Walau bagaimanapun, bulu lebat yang menyelaputi tubuhnya dari kepala hingga ke kaki dan tangannya yang panjang, tentu sekali menjadi sifat yang membezakannya daripada manusia. Selain itu, gigi orang utan serupa dengan gigi manusia. Ia mempunyai dua set gigi, iaitu gigi kekal dan gigi susu. Penglihatan orang utan serupa dengan manusia iaitu stereoskopik.


CIRI-CIRI ORANG UTAN

Ciri-ciri orang utan adalah seperti berikut:

* Otak yang relatif besar

* Mata yang berkedudukan menghadap ke hadapan

* Bulu yang menutupi seluruh tubuh

* Jari-jari yang berkuku

* Tidak mempunyai ekor

* Menggunakan kaki dan tangan untuk menggenggam


KELAKUAN ORANG UTAN

Kelakuan orang utan dari segi pergerakan adalah berjalan dengan dua kaki sahaja terutamanya yang lama dalam kurungan. Tetapi, dalam keadaan semula jadi, orang utan boleh berjalan dengan empat anggota tubuhnya.

Dari segi makanan, orang utan menggemari buah ara dan durian. Orang utan juga memakan buah-buahan yang lain. Ada juga dilaporkan bahawa orang utan memakan serangga seperti anai-anai. Oleh kerana, orang utan gemar memakan buah-buahan, mereka disenaraikan dalam kumpulan haiwan frugivorus. Tambahan pula, untuk memastikan kesihatan orang utan, mereka diberikan susu dan vitamin.


PEMBIAKAN DAN PERTUMBUHAN

Orang utan betina akan mencapai kematangan secara seksual paling awal apabila berumur 5 tahun dan paling lewat ketika berumur 7 hingga 8 tahun. Orang utan jantan pula mencapai kematangan apabila berumur antara 13 hingga 15 tahun.

Dari aspek pertumbuhan, orang utan dianggap remaja apabila mencapai umur 7 tahun. Orang utan betina remaja pula mencapai kematangan seksual sama seperti orang utan jantan dan mungkin melahirkan anak pada umur 8 tahun.

Orang utan betina akan menjalani tempoh bunting selama 227 hingga 301 hari. Pada waktu ini, perut orang utan betina akan membesar dan puting susunya akan membengkak. Oleh sebab bentuk badannya menyerupai manusia, orang utan betina juga diperhatikan mempunyai masalah membawa perut yang besar, dan sering kali menukar kedudukan badannya untuk mendapat keselesaan semasa berehat.

Tempoh kelahiran orang utan yang direkodkan adalah selama 1 hingga 4 jam. Anak orang utan yang baru lahir kelihatan sangat lemah, dengan bulu yang agak jarang-jarang dan berwarna merah pudar. Sewaktu lahir, berat orang utan adalah lebih kurang 1.5 kg.

Jarak diantara kelahiran pertama dengan kelahiran kedua adalah bervariasi, iaitu 3 hingga 8 tahun. Kadar pembiakan orang utan dikatakan paling lambat dikalangan haiwan mamalia. Hal ini juga merupakan satu faktor yang mengancam kamandirian populasi orang utan. Bagi seekor orang utan betina dalam kurungan, satu rekod menopaus atau putus haid yang pernah dicatat adalah pada umur 48 tahun. Rekod terpanjang tempoh hayat ialah 59 tahun bagi seekor orang utan.


Sumber:
Orang Utan, Maryati Mohamed, Noraini Nasaruddin, 2003, Perpustakaan Negara Malaysia
.

0 ulasan: