BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 23 Ogos 2009

SUATU CERITA




****sambungan****

Pada suatu malam, seekor orang utan bernama Balau datang menemui Puan Atunah. "Pokok
tanaman orang di ladang baru itu sudah cukup besar untuk kita makan. Marilah kita ke sana,"
ajaknya.
"Kau pergilah. Aku akan cari makanan di sini sahaja." Puan Atunah menolak.
Balau pergi membawa anak-anaknya serta anak-anak muda orang utan yang pantang diajak itu. Tiga malam berturut-turut mereka berkenduri makan tanaman penduduk kampung baharu itu. Bila balik mereka tidur berdengkur kekenyangan.
Akan tetapi para peladang tidak senang melihat tanaman mereka tidak bersisa. Satu pakatan dibuat untuk menghalau orang utan-orang utan itu dari perkampungan mereka. Pada malam keempat, ketibaan Balau dan anak-anak buahnya disambut dengan golok, lastik, gendang periuk dan kuali serta tembakan senapang.
Semua orang utan lari lintang-pukang balik ke dalam hutan dengan perut lapar.
"Aduh! Aku kena tembak di paha" Kos, bapa orang utan yang pendiam tapi berbadan besar dan tegap mengerang kesakitan. Apabila tiba di tempat perlindungan, baru dia terasa sakit.
Puan Atunah dan orang utan-orang utan lain berkerumun. Manusia sudah mencederakan kawan mereka. Mereka mesti membalasnya.
Menjelang senja, Puan Atunah mengumpul semua anak muda yang kuat dan berani dan orang-orang tua yang lain untuk berjuang bersama.
Dengan perasaan dendam dan marah, Puan Atunah mengepalai peperangan itu. Ia berlari masuk ke dalam ladang yang masih menghijau dengan tanaman itu lalu melanyak apa sahaja yang ada di hadapannya dengan sepuas-puas hati.
Mana-mana manusia yang tidak melarikan diri, dihambatnya sama.
Tiba-tiba, Puan Atunah terdengar sutu jeritan. Jeritan itu datangnya dari arah Kos. Puan Atunah berlari ke arah Kos yang sedang hendak menggigit seorang manusia.
"Kos, berhenti!" Seru Puan Atunah dalam jarak beberapa depa sebelum dia tiba dekat dengan orang yang sedang kesakitan itu.
"Aku mahu bunuh dia!" Kos menjerit marah.
"Nanti. Aku kenal orang ini. Dia pernah menyelamatkan aku ketika aku masih kecil dahulu. Jangan apa-apakan dia lagi! Mari balik ke dalam hutan!" Puan Atunah mengajak Kos serta orang utan-orang utan lain meninggalkan tempat itu.
"Aku harap orang itu tidak cedera parah kau gigit," kata Puan Atunah perlahan dengan suara sedih sebaik tiba di tempat perlindungan.
"Aku gigit kakinya sedikit, itu pun dia sudah menjerit." Balas Kos dengan rasa puas.
"Kenapa kau gigit kakinya? Tidak pijak perutnya?" Balau pula menyampuk.
"Sebab dia tembak kakiku!" jawab Kos sambil mengangkat kaki belakangnya yang hanya luka sedikit dan mulai sembuh itu.

SUATU CERITA


Puan Atunah sedang berehat di atas sebatang pokok di tepi tasik. Ia senang duduk di pokok itu sambil memerhatikan anaknya bermain-main di bawah. Ia membiarkan anaknya bermain sepuas-puasnya.

Tiba-tiba bunyi jentera berdesing-desing sampai ke telinganya. Puan Atunah terkejut. Ia segera bangun. Bahaya, fikirnya.
"Naik! Cepat naik! Kita dalam bahaya!" Puan Atunah menjerit nyaring. Dia memanggil anaknya yang sedang asyik bermain di bawah pokok itu. Tetapi anaknya tidak mendengar jeritannya.
Bunyi jentera semakin nyaring dan jelas. Hati Puan Atunah semakin bimbang. Ia tidak sabar menunggu anaknya naik. Dengan pantas Puan Atunah turun dari pokok itu untuk menghalau anaknya naik.
Berbulan-bulan bunyi yang menakutkan itu menganggu pendengaran dan perasaan orang utan-orang utan itu. Puan Atunah bimbang kalau-kalau anaknya pergi ke arah bunyi tersebut.
Jika anaknya pergi bermain-main berhampiran dengan bunyi itu, manusia akan menangkapnya.
"Dengar sini Bobo." Puan Atunah menasihati anaknya. "Kamu jangan bermain jauh dari ibu. Jangan bergayut atau berjalan jauh sendirian."
"Kenapa ibu? Tak seronoklah kalau tidak boleh bermain." Kata anak orang utan yang comel itu.
"Kau boleh bermain, tapi jangan jauh dari ibu atau dari rakan-rakan ibu yang lain."
"Ibu takut Bobo sesat?"
"Bukan, tapi ibu takut kau ditangkap orang."
"Dengar tu, dengar." Ibu gajah menggaru-garu badannya. "Kau dengar bunyi yang berdesing-desing itu?"
"Bunyi apa itu ibu?" Bobo mendekati ibunya apabila mendegar bunyi yang menakutkan itu.
"Itulah bunyi jentera yang digunakan oleh manusia untuk membuat sesuatu kerja berat. Jentera itu tidak akan berbunyi jika ada manusia yang menghidupkannya."
Sebaik habis ibu orang utan bercakap kedengaran bunyi bergegar pohon besar tumbang.
"Bunyi apa pula itu ibu?" Bobo bertanya.
"Pokok tumbang." Ibu gajah kelihatan cemas. "Kamu duduk di sini, jangan ke mana-mana. Ibu hendak memanggil kawan-kawan membincangkan masalah ini."
Bobo duduk seperti yang disuruh oleh ibunya. Sambil duduk dia melihat ibunya berjalan pantas keluar dari tempat persembunyian.
Puan Atunah menjerit, "Aaauuukkk! Aaauuk! Aaauuuk!"
Tidak lama kemudian semua orang utan yang dewasa berkumpul dekat Puan Atunah.
"Kawan-kawan semua!" Puan Atunah memulakan ucapan. "Kita sekarang dalam bahaya. Manusia sudah datang menebang pohon yang selama ini menjadi tempat kita berlindung. Dengarlah bunyi jentera penebang yang semakin hari semakin nyaring itu!" Puan Atunah menunjuk ke arah yang dimaksudkan.
Suasana bising seketika. Setiap orang utan berasa bertanggungjawab melindungi keluarga masing-masing.
"Jadi, apa yang harus kita lakukan Atunah?" Seekor gajah jantan bertanya. "Kita tentu tidak dapat menghalang manusia daripada meneruskan cita-citanya." Sambungnya lagi sambil tunduk berfikir.
"Betul. Betul." Beberapa ekor orang utan muda yang tegap sasa mengangguk. "Kita dalam bahaya, tapi kita tidak boleh menghalang manusia menebang pokok-pokok itu."
"Aku rasa manusia hendak menanam pokok kelapa sawit, koko atau pokok getah bagi tujuan pembangunan seperti yang kita lihat di kawasan utara dahulu!" Seekor ibu orang utan lain menyampuk.
"Beginilah." Puan Atunah memberi cadangan. "Pertama kita mesti mencari tempat perlindungan supaya anak-anak kita semua selamat. Lepas itu, kita makan tanaman mereka."
"Setuju!" Beberapa ekor orang utan menyokong cadangan Puan Atunah sambil menepuk-nepuk tangan.
"Mari jangan buang masa! Mari kita mencari tempat perlindungan baru. Kita selamatkan anak-anak dan keluarga kita!" Puan Atunah mengepalai perpindahan.

****bersambung****