BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 23 Ogos 2009

SUATU CERITA




****sambungan****

Pada suatu malam, seekor orang utan bernama Balau datang menemui Puan Atunah. "Pokok
tanaman orang di ladang baru itu sudah cukup besar untuk kita makan. Marilah kita ke sana,"
ajaknya.
"Kau pergilah. Aku akan cari makanan di sini sahaja." Puan Atunah menolak.
Balau pergi membawa anak-anaknya serta anak-anak muda orang utan yang pantang diajak itu. Tiga malam berturut-turut mereka berkenduri makan tanaman penduduk kampung baharu itu. Bila balik mereka tidur berdengkur kekenyangan.
Akan tetapi para peladang tidak senang melihat tanaman mereka tidak bersisa. Satu pakatan dibuat untuk menghalau orang utan-orang utan itu dari perkampungan mereka. Pada malam keempat, ketibaan Balau dan anak-anak buahnya disambut dengan golok, lastik, gendang periuk dan kuali serta tembakan senapang.
Semua orang utan lari lintang-pukang balik ke dalam hutan dengan perut lapar.
"Aduh! Aku kena tembak di paha" Kos, bapa orang utan yang pendiam tapi berbadan besar dan tegap mengerang kesakitan. Apabila tiba di tempat perlindungan, baru dia terasa sakit.
Puan Atunah dan orang utan-orang utan lain berkerumun. Manusia sudah mencederakan kawan mereka. Mereka mesti membalasnya.
Menjelang senja, Puan Atunah mengumpul semua anak muda yang kuat dan berani dan orang-orang tua yang lain untuk berjuang bersama.
Dengan perasaan dendam dan marah, Puan Atunah mengepalai peperangan itu. Ia berlari masuk ke dalam ladang yang masih menghijau dengan tanaman itu lalu melanyak apa sahaja yang ada di hadapannya dengan sepuas-puas hati.
Mana-mana manusia yang tidak melarikan diri, dihambatnya sama.
Tiba-tiba, Puan Atunah terdengar sutu jeritan. Jeritan itu datangnya dari arah Kos. Puan Atunah berlari ke arah Kos yang sedang hendak menggigit seorang manusia.
"Kos, berhenti!" Seru Puan Atunah dalam jarak beberapa depa sebelum dia tiba dekat dengan orang yang sedang kesakitan itu.
"Aku mahu bunuh dia!" Kos menjerit marah.
"Nanti. Aku kenal orang ini. Dia pernah menyelamatkan aku ketika aku masih kecil dahulu. Jangan apa-apakan dia lagi! Mari balik ke dalam hutan!" Puan Atunah mengajak Kos serta orang utan-orang utan lain meninggalkan tempat itu.
"Aku harap orang itu tidak cedera parah kau gigit," kata Puan Atunah perlahan dengan suara sedih sebaik tiba di tempat perlindungan.
"Aku gigit kakinya sedikit, itu pun dia sudah menjerit." Balas Kos dengan rasa puas.
"Kenapa kau gigit kakinya? Tidak pijak perutnya?" Balau pula menyampuk.
"Sebab dia tembak kakiku!" jawab Kos sambil mengangkat kaki belakangnya yang hanya luka sedikit dan mulai sembuh itu.

0 ulasan: